Malaysia dikenali sebagai sebuah
negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang terdiri
daripada masyarakat Melayu, Cina, India serta pelbagai etnik lain di Sabah dan
Sarawak. Kepelbagaian ini merupakan satu keunikan yang perlu dipelihara kerana
ia menjadi asas kepada pembentukan identiti nasional negara. Namun begitu,
dalam arus pemodenan dan globalisasi masa kini, cabaran terhadap perpaduan kaum
semakin meningkat akibat kurangnya interaksi sosial, perbezaan pandangan serta
pengaruh media sosial yang tidak terkawal.
Sehubungan
dengan itu, pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan perpaduan kaum
terus diperkukuhkan. Salah satu pendekatan yang berkesan ialah melalui
penganjuran aktiviti kesukarelawan yang melibatkan penyertaan masyarakat
daripada pelbagai latar belakang. Aktiviti kesukarelawan bukan sahaja memberi
manfaat kepada komuniti, malah mampu membentuk sahsiah diri individu melalui
penerapan nilai-nilai etika dan peradaban.
Melalui
aktiviti seperti gotong-royong, bantuan kemasyarakatan, program kebajikan dan
lain-lain, individu dapat berinteraksi secara langsung serta membina hubungan
yang lebih erat. Dalam masa yang sama, nilai-nilai murni seperti toleransi,
hormat-menghormati dan tanggungjawab sosial dapat dipupuk dalam diri setiap
individu. Oleh itu, penganjuran aktiviti kesukarelawan dilihat sebagai satu
medium yang sangat efektif dalam menyumbang ke arah pembinaan masyarakat yang
harmoni, bersatu padu dan beretika di Malaysia.

